Isnin, 19 September 2011

SMK DESA WAWASAN TAMBUNAN (DEWATA) MENERIMA ANUGERAH TAWARAN BARU NKRA 2010. REZEKI DI BORNEO. BANGGA!!!

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN, TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN DALAM MAJLIS ANUGERAH TAWARAN BARU KEPADA PENGETUA 13 SEPTEMBER 2011 PDF Print E-mail
Written by Administrator

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.
Yang Berhormat Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran II

Y. Bhg. Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia

Y. Bhg. Dato’ Abd. Ghafar bin Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Yang Berusaha Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah
Pelajaran

Pengarah-Pengarah Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia
Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,

Yang dihormati, dif-dif jemputan, para pengetua, guru-guru serta para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah S. W. T. kerana atas limpah kurnia dan inayah-Nya, dapat kita bertemu dalam Majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua bagi tahun 2010 yang telah membuktikan kecemerlangan sekolah masing-masing. Tidak terlewat bagi pihak diri saya untuk mengambil kesempatan di hari ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
Saya amat berbesar hati kerana pada hari ini berkesempatan untuk bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan khususnya para pengetua yang telah berjaya mengangkat sekolah masing-masing ke tahap yang lebih tinggi. Tuan-tuan dan puan-puan merupakan kumpulan pengetua perintis di peringkat sekolah menengah yang berjaya menyahut Tawaran Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau National Key Result Areas (NKRA). Tawaran Baru dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah. Ganjaran Tawaran Baru yang diberikan kepada pengetua dan guru besar adalah berdasarkan penilaian berasaskan pencapaian (performance based assesment).

Kita seharusnya rasa berbangga kerana Tawaran Baru (New Deal) yang mula dilaksanakan pada tahun 2010 telah berjaya melalui beberapa fasa pelaksanaannya. Majlis pada hari ini melengkapkan pusingan pertama kejayaan dasar kerajaan dalam melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara khususnya sub NKRA Pendidikan. Penganugerahan ganjaran Tawaran Baru merupakan kemuncak kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah membuktikan keupayaan mencapai sasaran seperti yang telah ditetapkan dalam akad tawaran (bai’ah).


Y. Bhg. Datuk/Datin/Tuan/Puan,

Pemimpin sekolah mempunyai impak yang signifikan ke atas kecemerlangan murid. Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab pengetua untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang teratur dan selamat, mengekalkan budaya sekolah ke arah kemajuan yang berterusan dan menggunakan data untuk memperbaiki kemajuan pencapaian murid. Pengetua yang berkesan juga melaksanakan penilaian yang mempunyai piawai, memantau rancangan kemajuan sekolah, mengurus sumber manusia dan kewangan untuk mencapai matlamat kecemerlangan sekolah. Pengetua sekolah perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan rakan sejawat, ibu bapa dan komuniti untuk meningkatkan pembelajaran murid. Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan sangat arif tentang peranan ini dan adalah menjadi harapan saya semoga usaha-usaha murni tuan-tuan dan puan-puan untuk memajukan sekolah masing-masing kekal ke tahap kecemerlangan.

Untuk sub-NKRA Pendidikan ini, sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran pada tahun penilaian 2010 ialah sebanyak dua peratus. Namun demikian, pencapaian sebenar bagi tahun penilaian 2010 adalah di luar jangkaan kita. Pada 28 Februari 2011 yang lalu sebanyak 584 (7.63%) sekolah daripada 7,648 sekolah rendah seluruh negara telah menerima ganjaran ini. Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM18 juta sebagai ganjaran bukan sahaja kepada guru besar dan guru-guru malahan kepada kakitangan sokongan di sekolah.

Hari ini, kerajaan sekali lagi mengotakan janjinya untuk memberi ganjaran yang sama kepada pemimpin sekolah menengah pula. Di peringkat sekolah menengah sebanyak 164 buah sekolah telah dicalonkan iaitu sekolah yang mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 88% dan sekolah yang melonjakkan kedudukan sekurang-kurangnya 300 dari kedudukan asal. Setelah semua sekolah ini diverifikasi oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, sebanyak 92 (4.2%) buah sekolah daripada 2,204 buah sekolah menengah seluruh negara telah melepasi semua saringan termasuk tiada audit berteguran dan tiada kes tatatertib.

Saya berasa amat sukacita kerana pengetua yang berjaya kali ini merangkumi semua kategori sekolah sama ada Sekolah Berasrama Penuh (42), Sekolah Menengah Harian (29), Sekolah Menengah Teknik (2) dan Sekolah Menengah Vokasional (4), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (1). Sekolah Menengah Pendidikan Khas (1) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (13) juga telah berjaya dalam Tawaran Baru ini.

Apa yang membanggakan kita semua ialah usaha kerajaan untuk merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar juga nampaknya telah membuahkan kejayaan. Ini terbukti pada hari ini, apabila 55 (59.78%) buah sekolah luar bandar dan sebuah sekolah di pedalaman (SMK Desa Wawasan, Tambunan, Sabah) berjaya menerima ganjaran tawaran baru ini dari keseluruhan 92 buah sekolah yang terpilih.

Kajian literatur yang menunjukkan lokasi sekolah merupakan faktor dominan yang menentukan tahap pencapaian murid bukanlah suatu yang tidak boleh diubah sekiranya ada usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak sekolah bagi memajukan murid-murid. Kajian lalu juga menunjukkan terdapat pola pertalian antara faktor persekolahan dengan pencapaian bandar-luar bandar. Murid yang mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menengah di bandar telah mencapai kejayaan yang lebih baik berbanding murid luar bandar. Nampaknya melalui sub NKRA Pendidikan, dapatan tahun 1980-an agak tidak relevan apabila KPM berupaya merapatkan jurang pencapaian sekolah bandar dan luar bandar menerusi program pemajuan sekolah yang bersungguh-sungguh di seluruh negara.

Bagi peringkat sekolah menengah ini, sejumlah hampir RM7.81 juta akan dibelanjakan sebagai ganjaran kepada tuan-tuan dan puan-puan, guru-guru serta kakitangan sokongan di sekolah masing-masing. Dijangkakan hampir tujuh ribu warga pendidikan peringkat sekolah menengah akan mendapat manfaat daripada ganjaran Tawaran Baru ini.


Para hadirin sekalian,

Dalam kita meraikan kejayaan ini, Kementerian akan terus memastikan pengetua dan guru besar yang tidak mencapai sasaran seperti yang ditetapkan diberi peluang mengikuti kursus penambahbaikan berdasarkan keperluan masing-masing dan diberikan bimbingan dari semasa ke semasa. Suka saya mengesyorkan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah berjaya pada hari ini untuk bersama-sama berkongsi pengalaman dan amalan-amalan terbaik di sekolah masing-masing bersama-sama dengan sekolah yang lain. Saya percaya usaha untuk menjalankan jaringan dan jalinan perhubungan antara sekolah di daerah masing-masing bukan sahaja bermula di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Proses ini perlu bermula dari tuan-tuan dan puan-puan yang telah membuktikan kecemerlangan di sekolah masing-masing. Kini tuan-tuan dan puan-puan sewajarnya memanfaatkan ilmu dan kepakaran yang ada bagi melahirkan lebih ramai pengetua yang berjaya untuk menerima anugerah tawaran baru di daerah masing-masing.

Bagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, saya mengambil peluang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pengetua, guru-guru serta kakitangan sokongan yang telah terpilih bagi menerima anugerah Tawaran Baru bagi tahun 2010. Kejayaan hari ini merupakan satu langkah awal mencapai kecemerlangan pada masa-masa akan datang. Bagi pengetua dan guru-guru yang tidak berkesempatan menerima anugerah pada tahun ini, anggaplah kejayaan rakan-rakan anda ini sebagai satu persaingan sihat bagi sekolah anda untuk melaksanakan penambahabaikan ke arah kecemerlangan.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganugerahan Tawaran Baru ini terutamanya kepada Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selaku urus setia Tawaran Baru dan telah melaksanakan verifikasi serta penilaian ke atas sekolah yang layak untuk dipertimbangkan sebagai penerima ganjaran. Begitu juga kepada Bahagian Audit Sekolah dan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia yang sama-sama menmbantu menjalankan pengauditan dan penyemakan prestasi calon. Tidak dilupakan juga bahagian-bahagian lain di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) serta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atas segala usaha yang dilakukan oleh mereka bagi mendorong sekolah untuk mencapai kecemerlangan yang kita harapkan.

Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pengetua yang berjaya menerima Anugerah Tawaran Baru bagi Tahun 2010. Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Rabu, 14 September 2011

Mensejarahkan Sejarah

Kita tahu Sejarah namun buat2 tak tahu.... Kenapa hari ini semuanya baru dibongkar, KE kita nak mensejarahkan Sejarah? Jangannya isu Sejarah ini hangat2 tahi ayam masa dekat2 Merdeka je, bila gendang PRU bermula.. klu apa y kita bt betul, biarlah kita mensejarahkan Sejarah Malaysia dengan membetulkan Sejarah Sirah hingga ianya jelas tampak lurus tulus telus tanpa membias mana2 pihak. Kesian generasi anak bangsa dulu, hari ini & masa depan. Transformasi & Adaptasi.
Sejarah yang telah tertanam dalam minda anak bangsa generasi terkemudian sukar untuk diubah kerana itu Sejarah kita, perjalanan hidup nenek moyang kita yang membawa Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan hinggalah kita mengecapi perpaduan keamanan hari ini. Kita mengecapi kemanisan daripada kepahitan yang dilalui oleh nenek moyang kita dahulu menentang penjajah yang tidak mengikut telunjuk menjadi tali barut bahkan menongkah arus berjuang terus. Itulah nenek moyang kita yang berjasa kepada Malaysia dulu, kini dan selamanya.

Justeru, pada pandangan saya, lebih baik kita meletakkan siapa yang hidup pada zaman sebelum Merdeka yang sentiasa mempertahankan maruah anak bangsa dan Tanah Air, mereka itulah yang digelar sebagai perwira dan pejuang yang berjuang hingga bendera Malaysia dikibar julang.

Hari ini sepatutnya kita berfikir renung!!! wujudkah kita semangat juang seperti mereka dahulu? Jika Malaysia mahu dijajah lagi, dayakah kita mempertahankan Tanah Air dengan darah tumpah dalam jasad kita? kalau YA, itu yang Malaysia cari. Kalau TIDAK, itu yang Malaysia rugi. Kalau hari ini masing-masing menghala khusus pada kekayaan diri sendiri tanpa ambil kisah ambil peduli walau sekilas hujung jari tentang Malaysia hari ini. Ertinya kita masih tidak merdeka diri dalam negara Merdeka.

Bicara soal Sejarah, ingatlah soal perjuangan, tanamlah patriotisme kecintaan, mahunya Tanah Airku Dipertahankan.

Sabtu, 10 September 2011

Apa yang dilalui KITA hari ini tidak semudah seperti membalikkan telapak tangan. Sesekali hati KITA disapa perasaan berat, sekali gus menuntut KITA mencari guru untuk membawa KITA meniti jalan lurus. Didiklah diri dengan ajaran Pendidik Mursyid (Guru Petunjuk Jalan Kebahagiaan Hidup Di Dunia & Akhirat)

Ahad, 30 Januari 2011

Aku Dalam Kesaljian, dikala malam kegelapan.... harapkan sinar fajar esok kabus nyaman mendatang, itulah indahnya sebuah kehidupan AKU seorang guru pedalaman di Desa Wawasan... Penuh dengan kesepian dalam ketenangan, membuat diri bertafakur memikirkan qudrat iradat tuhan, yang mengurniakan aku mutiara sabah berkilauan.... inilah dia sebuah kemanisan dalam kenikmatan, di kala orang lain kehujanan runtuhan kesedihan... Aku di sini, bermanja kabus mulut berwapan, tubuhku salji membeku ku anggap satu keunikan. Oh, Tuhan dikaulah kuasa meindahi alam :)