Rabu, 27 Oktober 2010

TIPS MEMILIH JODOH


Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap.

Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun.

Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama.

Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih.

Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.

Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.

Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.

Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.

Antara yang menarik tulisan berikut:

Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.

Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS.

Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa Tujuan Berumahtangga?

"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.

Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.

Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku.

Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku"

Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia.

Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat?

Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara?

Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.

Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali.

Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama.

Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.

Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan?

Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.

Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?

Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.

"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.

Penyakit "Tidak Jelas"

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?

Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.

Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?

Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".

Hanya 'Beragama'?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta.

Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan.

Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.

Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama.

Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu.

Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.

Ustaz Fathi Yusuf

Jumaat, 22 Oktober 2010

Di Atas Nama JIN???

1. Jin berasal dari Jan (Bapak Jin) dan gelarannya Azazil. Dicipta dari api (biru), dan telah beramal puluh ribu tahun lamanya.

2. Apabila Allah swt. memerintahkannya supaya tunduk menghormati Nabi Adam, mereka telah ingkar. Allah swt. melaknat dan perintah turun ke bumi. Jin terbahagi kepada dua iaitu Jin Islam dan Syaitan.

3. Jin Islam pula terbahagi kepada dua iaitu Jin Islam(Soleh) dan Jin Tidak Islam (Tidak Soleh). Syaitan yang turun kesemuanya jahat (tidak Islam).

4. Makanannya dari Api (Asap). Itu sebab orang-orang Melayu dilarang mengunakan kemenyan kerana Jin paling suka dengan asap yang busuk.Tetapi orang-orang melayu ini degil, suka sangat dengan asap kemenyan. Beliau menambah, orang-orang yang suka hisap rokok itu, adik-beradik jin lah tuu (sambil berseloroh).

5. Tempat tinggal Jin seperti di awan, sungai, hutan, lombong, laut, tempat-tempat tinggi (klcc), tandas dan kubur.

6. Beliau menasihat apabila ingin buang air di perjalanan (contohnya jalanraya), perlu baca ” Sala Mun, ‘Ala Sulaiman, Fil ‘alamin.” Mengikut sirahnya jin sangat takut dengan Nabi Sulaiman. Orang-orang Melayu suka sangat membaca ucapan, “Ampun Datuk, Anak cucu tumpang lalu” Masa bila pulak jin dapat pangkat datuk. Dan masa bila pula, kita jadi cucu cicit jin!!!!

7. Jin tidak mengetahui akan alam ghaib, itu sebab jika ada dukun atau bomoh yang tahu menilik-nilik nasib, pembohong….” Sirahnya apabila Nabi Sulaiman, memerintahkan jin untuk membina istananya, sehingga Nabi Sulaiman meninggal pun jin tidak perasan/tahu. Semasa itu Nabi Sulaiman duduk di kerusinya dengan tongkat kayu. Dan jin tekun membuat kerja di hadapan-nya. Sehingga anai-anai memakan tongkatnya dan tongkat tersebut reput dan jatuh serta Nabi Sulaiman pun jatuh, maka barulah tahu oleh jin bahawa Nabi Sulaiman telah mangkat.

8. Manusia juga dilarang membuang air di lombong-lombong yang airnya tenang, terutama di waktu tengah malam. Jin suka mandi di situ, waktu itu. Di larang juga buang air di lubang-lubang (tanah).

9. Rumah-rumah yang lama tidak berpenghuni atau rumah yang baru siap belum duduk lagi, jin suka tinggal di situ. Sebelum duduk rumah baru, di galakkan membaca surah Al-Baqarah, sehingga habis. Jin lari selama 3 hari. Tidak perlu tepung tawar bagai…. orang melayu suka sangat menepung tawar !!!

10. Jika budak menangis tengah-tengah malam, azankan 7 ~ 10 kali, jika tidak bacakan ayat Kursi dengan cara 9 kali henti (tekniknya) sebab beliau pernah jumpa orang yang di rasuk.

Ustaz Ismail Kamus

Khamis, 21 Oktober 2010

Syukur dan Sabar

Dalam kesibukan diri melayari bahtera kehidupan ini, banyak dugaan dan cabaran yang kita temui, mungkin ada cabaran yang berjaya kita harungi, dan ada yang sebaliknya. Cuma hakikatnya, kita sebagai manusia memang tidak lepas dari menghadapi dugaan ini.

Para ulama' dan ahli ibadah zaman dahulu mengklasifikasikan ujian yang diterima oleh seseorang itu adalah mahar yang akan dijadikan saksi ketika hari yang tiada saksi melainkan amalan yang soleh, ia juga dianggap sebagai sebuah nikmat kerana bagi mereka Allah masih menerima amalan dan masih melihat mereka.

Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Sifat Syukur

Syukur adalah satu sifat yang sangat penting di dalam diri seseorang. Tanpa syukur, seorang manusia itu akan lupa daratan dan sentiasa merasakan diri merekalah yang sebenarnya sempurna dan berkuasa.

Lihat sahaja kepada contoh golongan yang tidak bersyukur yang telah dinukilkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran sebagai iktibar kepada hambanya.

Firaun Dan Pengikutnya

Firaun adalah seorang raja yang telah diberikan keistimewaan oleh Allah SWT dengan tidak pernah jatuh sakit sepanjang hidupnya. Di samping itu juga, dia diberikan sebuah kerajaan yang sagat besar dan kuat iaitu kerajaan mesir ketika itu.

Tetapi malangnya, firaun menjadi sombong dan lupa diri. Oleh kerana keistimewaanya itu, dia merasakan dirinya adalah Tuhan yang patut disembah - dia menyuruh seluruh rakyatnya menyembah dirinya.

Sehinggakan Allah SWT mengutuskan Nabi Musa a.s. untuk menjadi petunjuk ke atas rakyat yang telah dizalimi tadi. Allah SWT juga memberi balasan yang setimpal ke atas perbuatan angkuh firaun itu dengan menenggelamkan dia di laut merah sewaktu cuba membunuh Nabi Musa a.s.

Begitu juga yang terjadi ke atas Haman; perdana menteri yang dilantik ketika pemerintahan firaun. Dia banyak menghabiskan duit rakyat dan sentiasa mengampu firaun dengan kata-kata manis untuk mengekalkan kedudukannya selaku perdana menteri; orang yang kedua tertinggi dalam kerajaan firaun laknatullah.

Kisah Raja Namrud

Raja Namrud juga salah satu contoh manusia yang tidak bersyukur atas pemberian Ilahi, bukan sahaja bersifat angkuh tetapi dia mahu membakarnya hidup-hidup Nabi Ibrahim a.s. yang diutuskan oleh Allah ke atas kaum mereka. Namun dengan sifat kasih sayang Allah SWT, api yang sepatutnya bersifat panas dan membakar menjadi dingin dan selamat untuk Nabi Ibrahim a.s. dan Namrud pula akhirnya dimusnahkan dengan dihantar seekor nyamuk yang masuk ke dalam kepalanya untuk memakan otaknya.

Manusia Yang Paling Sabar

Nabi Ayub dikurniakan kesempurnaan kehidupan oleh Allah SWT. Baginda dikurniakan harta yang banyak dan keluarga yang bahagia, tetapi kuasa Allah SWT lebih hebat apabila menguji baginda dengan menarik sedikit demi sedikit nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada Nabi Ayub. Ia bermula dengan harta yang semakin berkurangan, anak-anak yang meninggal dunia dan seterusnya dengan penyakit sopak yang menjijikkan.

Mengenai pelbagai ujian itu Allah SWT berfirman, maksudnya:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, 'Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali'."

Walaupun diuji dangan begitu hebat sekali, beliau masih tetap percaya Allah SWT ada menyelitkan hikmah disebalik kedukaan ujian yang melandanya. Akhirnya dengan sifat kesempurnaan Allah, segala ujian yang diberikan digantikan semula dengan kegembiraan dan Nabi Ayub a.s. dinaikkan darjat sebagai orang yang bersabar di atas ujian yang menimpa.

Jesteru ayuh sahabat sekalian, majulah dalam menempuh ujian hidup ini kerana ada sesuatu yang manis sedang menunggu kita.

Ingatkan teman yang lain dan ingatkan diri kita sendiri. Moga Allah memberi taufiq ke atas diri kita dan dikurniakan kejayaan diatas amalan yang dilakukan.

"Ya Allah jangan Kau uji kami dangan ujian yang tidak tertanggung oleh kami, sesungguhnya kami hambaMu yang daif dan lemah."

"Tanpa keberanian, mimpi takkan bermakna."

"Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati."

Selasa, 19 Oktober 2010

Berharap Kepada Yang Tak Punya

"Untuk apa kita mengharap pada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan?

Pengharapan adalah sesuatu yang dapat memberikan kekuatan.

Walaupun kita berada dalam suatu kesusahan yang sangat berat, pengharapan akan memberikan kesegaran kepada iman untuk sentiasa bertahan.

Kita percaya bahawa masih ada jalan keluar kepada permasalahan.

Kita percaya bahawa pasti ada pertolongan.

Namun, pada siapa harus kita berikan pengharapanAllah tersebut? Adakah pada makhluk seperti kita yang juga tak punya untuk memberi?

Atau pada Tuhan yang sentiasa menanti untuk diseru nama-Nya pagi dan petang? Bahkan Dialah yang memenuhi segala permintaan.

Seringkali kita meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia untuk dipenuhi.

Padahal orang yang kita harapkan tersebut tak berdaya untuk memenuhi harapan dirinya sendiri.

Adalah lebih bahaya kalau orang yang kita harapkan sebenarnya tak pernah mengharap kepada Tuhan sekalian alam.

Dia menggantungkan kepercayaan kepada dirinya semata-mata tanpa sedikitpun merasa terikat dengan ketentuan Allah.

Jika orang sebegini yang kita harapkan, adakah dia akan membawa kita mendekati Tuhan?

Harapan tak tertunai, bahkan Iman terungkai-rungkai ikatannya.

"Jangan risau, kalau aku ada, mesti ok punya semua benda.

Hanya aku seorang yang boleh diharapkan"

Kata-kata sombong apakah itu? Seolah-olah dirinya adalah Tuhan yang menentukan segala keadaan.

Tanpa dia, mungkin keadaan menjadi kurang baik. Namun, dengan dia, adakah keadaan semestinya baik tanpa izin Tuhan?

Jika ada orang yang kita harapkan mengatakan begitu, berhati-hatilah, boleh jadi kita sedang mengharap pada yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan.

Bukan tidak boleh kita percaya diri, meletakkan harapan kepada manusia.

Namun, cukuplah harapan itu setakat yang patut.

Jangan sampai harapan itu melangkaui harapan tertinggi yang seharusnya diberikan kepada Allah mutlak.

Tak ada gunanya mengharap kepada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan, kerana kelak kita akan disesatkannya.

Pengabdian kita kepada Allah akan tercalar.

Berharaplah kepada manusia untuk berbuat sekadar kemampuannya, namun keizinan untuk sesuatu itu terjadi tetap harus dikembalikan urusannya kepada Allah.

Pengharapan yang tidak patut kepada manusia selalu terjadi tanpa kita sedari. Pengharapan yang tidak langsung diikat dengan pengharapan kepada Allah.

Contohnya, selalu kita terlalu mengharap manusia memberikan cinta kepada kita sedangkan Allah yang menumbuhkan cinta dalam hatinya.

Kenapa tidak berdoa sahaja kepada Allah agar mengurniakan rasa cinta tersebut?

Walaupun pengharapan tidak memansuhkan ikhtiar, namun pengharapan yang tepat akan menjadikan ikhtiar kita lebih berkat.

"Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepada dia untuk melaksanakan tugas yang aku berikan"

Itulah bentuk pengharapan yang lebih baik. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya.

Tuntasnya, hubungan berbentuk horizontal yang tidak diikat dengan hubungan vertical akan menimbulkan kecelaruan dan kegoyahan.

Horizontal saya maksudkan sebagai hubungan sesama manusia, vertical sebagai hubungan dengan pencipta.

Hubungan horizontal yang tidak ada ikatan vertical adalah ibarat sebuah kipas syiling yang berpusing tanpa tergantung pada syiling, putarannya bukan menyejukkan, tapi menghancurkan.

Jauhkanlah diri kita daripada berharap secara keterlaluan kepada manusia sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah.

Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tak pernah mengharap kepada Tuhan.

Manusia terbatas kemampuannya sedangkan Allah tak ada istilah tidak mampu bagi-Nya.

Apabila Dia mengatakan jadi, maka jadi.

"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." - Al-Insyirah: 7-8

Wallahua'lam.