Rabu, 30 Jun 2010

Kerja Oh Kerja III

20 contoh soalan temuduga SPA:

1. Apa yang anda tahu tentang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)? Apakah peranan peranan yang dimainkan oleh SPA?


2. Kerajaan memperkenalkan konsep KPI (Key Performance Indicator) untuk mengukur kecekapan dan keberkesanan menteri menteri yang dilantik di dalam kabinet. Boleh anda ulas sedikit tentang ini?


3. Selain daripada KPI, apa lagi langkah langkah atau mekanisme yang membolehkan sesebuah majikan mengukur kemampuan seseorang pekerja?


4. Anda baru dilantik ke sebuah jabatan kerajaan. Anda mendapati, terdapat beberapa kepincangan dalam beberapa proses dan prosedur perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan anda. Sebagai orang bawah yang baru sahaja bekerja, bagaimana anda boleh mengutarakan pendapat anda kepada pegawai lain yang lebih tinggi pangkatnya?


5. Aung San Suu Kyi adalah pejuang demokrasi yang dinafikan hak hak kemanusiaan oleh negaranya Myanmar. Sebagai sebuah negara yang berada di kerantauan yang sama, apa yang boleh dilakukan oleh Malaysia untuk menyuarakan kerisauan antarabangsa dan dalam masa yang sama mengekalkan hubungan diplomatik kedua dua hala?


6. Bagaimana anda boleh menyelesaikan konflik atau perselisihan pendapat dengan rakan sekerja anda?


7. Setakat yang anda tahu, apakah tugas tugas yang bakal dipikul oleh Juruukur (atau jawatan yang dipohon) di jabatan ini?


8. Kenapa anda yang harus kami pilih, dan bukan calon lain? Apa kelebihan anda?


9. Apakah kelemahan anda yang harus kami ketahui? Adakah anda melakukan sebarang perkara yang akan membantu anda mengatasi kelemahan tersebut?


10. Sebagai seorang jurutera, selain daripada kepakaran teknikal, apa lagi kemahiran lain yang perlu ada pada beliau untuk membina sebuah kerjaya yang cemerlang dan membolehkan beliau menjadi seorang jurutera yang serba boleh?


11. Di manakah anda 5 tahun dari sekarang?


12. Sebagai seorang pegawai sumber manusia, apakah strategi yang boleh anda lakukan untuk memastikan tahap motivasi pekerja di semua jabatan atau unit berada pada tahap yang tertinggi?


13. Mengapa anda memohon jawatan ini?


14. Kenapa jawatan dalam kerajaan yang dipilih. Kenapa tidak swasta? Apa kelebihan dan kekurangan bekerja dengan kerajaan berbanding dalam sektor swasta?


15. Pada pendapat anda, adakah sistem pendidikan di negara ini berada pada landasan yang betul? Apa yang anda mahu lihat pada sistem pendidikan yang masih belum ada buat masa ini?


16. Sebagai pereka lanskap, apakah langkah langkah yang perlu diambil, serta faktor faktor yang mesti diambil kira sebelum anda melakukan sebarang rekaan di atas kertas?


17. Nyatakan sebarang pencapaian atau keterlibatan anda dalam membangunkan sistem teknologi maklumat, samaada di tempat kerja sebelum ini, di universiti atau di tempat tempat lain.


18. Jika anda keluar dari sektor swasta dan masuk ke jabatan kerajaan, bagaimana anda boleh meyakinkan kami bahawa anda tidak akan keluar dan masuk semula ke sektor swasta?


19. Seorang pegawai kerajaan akan sentiasa menghadapi kemungkinan untuk dipindah lokasi dan tempat bekerja. Terangkan respons anda terhadap komitmen sebegini. Bagaimana anda akan menyelesaikan segala cabaran yang muncul dalam proses perpindahan ini?


20. Nyatakan satu contoh di mana anda telah menonjolkan bakat kepemimpinan semulajadi dalam melaksanakan sesuatu aktivit atau program yang besar dan berjaya.

Kerja Oh Kerja II 5 Tip Asas Temuduga

Temuduga merupakan proses yang perlu dilalui oleh mereka yang ingin menjawat jawatan awam atau kerajaan. Proses temuduga ini penting kerana ia merupakan antara benteng terakhir yang menentukan samaada usaha anda selama ini yang bersusah payah mengisi borang SPA dan juga menghadiri sesi ujian bakal memberi habuan atau sebaliknya kekecewaan.

Pastikan anda membuat persediaan rapi sebelum menghadapi sesi temuduga kerana tanpa persediaan yang secukupnya, anda akan pulang hampa dan kecewa.

Berikut adalah 5 tip asas dan mudah yang boleh diikuti oleh anda yang akan melalui temuduga kerja kerajaan:

1. Ambil berat adab dan tertib temuduga

Tampilkan pemakaian dan personaliti yang menggambarkan anda seolah olah seorang eksekutif yang yakin, berkarisma dan berketerampilan. Untuk lelaki, tali leher serta kasut, baju dan seluar yang berpadanan manakala untuk wanita, pemakaian eksekutif yang bersesuaian. Jangan segan silu untuk memakai kot atau blazer, kerana ia bukan sesuatu yang anda akan lakukan setiap hari. Pastikan anda datang awal ke sesi temuduga, lengkap dengan segala dokumen yang diperlukan.

2. Tahu tugas dan peranan anda

Semak semula jawatan yang dipohon dan senaraikan tugas tugas dan peranan yang mungkin dipikul jika sekiranya anda berjaya menjawat jawatan kosong yang ditawarkan. Jika ditanya, “Pada pandangan anda, apakah tugas tugas jawatan seorang Pegawai Penyelia seperti yang anda pohon sekarang?”, perkara terakhir yang anda inginkan berlaku adalah gagal menjawab soalan di atas dan hanya kelu tidak terkata di hadapan penemuduga. Dapatkan maklumat dari beberapa sumber seperti laman web, buku panduan, rakan rakan serta ahli keluarga yang bekerjaa dengan kerajaan.

3. Buat kajian mengenai struktur & organisasi pentadbiran kerajaan

Buat sedikit kajian mengenai beberapa jabatan atau kementerian terutamanya tugas tugas yang dipikul oleh jabatan yang berlainan. Buat perbandingan dengan pentadbiran negeri (dan sebagainya) untuk memahami perbezaan dari segi struktur dan fungsi. Ini terutamanya penting untuk mereka yang bakal menghadiri temuduga PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik).

4. Ambil tahu isu semasa dan terkini

Seorang kakitangan kerajaan perlu sentiasa peka dengan perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang berlaku di dalam dan luar negara. Sebagai contoh, penemuduga mungkin bertanyakan pendapat anda tentang dasar dasar luar Amerika yang diamalkan oleh Presiden barunya Barrack Obama. Manakala, dari konteks dalam negeri, anda mungkin diminta menghuraikan pandangan anda tentang konsep Satu Malaysia yang diperkenal oleh Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak.

5. Usaha jawab walaupun tidak tahu jawapan tepat

Bukan sesuatu yang memalukan jika anda tidak tahu jawapan kepada sesuatu soalan temuduga. Tetapi, jangan sekadar menjawab “maaf, saya tidak tahu”. Sebaliknya, cuba terangkan sejauh mana yang anda tahu dan tunjuk usaha kepada penemuduga bahawa anda sanggup bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu ilmu atau maklumat.

Sebenarnya, selain daripada menguji pengetahuan, penemuduga ingin mengetahui sejauh mana usaha atau inisiatif anda mencuba. Mereka juga ingin bersemuka dengan calon pekerja yang mempunyai kemahiran berkomunikasi dan mereka yang boleh membuat analisa kepada sesuatu persoalan dan isu.

Kerja Oh Kerja 1

5 sebab kenapa susah dapat pekerjaan:

1. Pandai belajar tapi tak pandai berinteraksi

Satu ‘kebolehan luarbiasa’ institusi institusi pengajian di Malaysia (samaada institusi awam atau swasta) adalah menghasilkan graduan yang cemerlang dalam bidang akademik tetapi kemudiannya dicemuh oleh majikan apabila mereka datang ke temuduga kerja (tidak semua tetapi banyak). Hasilnya, mereka ditolak bulat bulat, dan sebaliknya calon lain yang kurang pintar serta mendapat kelulusan yang rendah tetapi memiliki potensi untuk digilap pula yang ditawarkan kerja.

Tidak sukar untuk majikan menemukan calon yang mendapat ijazah kelas pertama atau mereka yang seringkali berada dalam senarai anugerah dekan di universiti, namun semua itu menjadi tidak bermakna jika sekiranya calon tidak mempunyai kemahiran asas untuk bersaing dalam dunia kerjaya yang penuh kompetitif. Apabila ditanya satu soalan, jawapan yang diberi hanya sepatah dua ayat yang tiada kualiti, dan tiada inisiatif untuk membuat analisa terhadap sesuatu soalan dan menampilkan teknik berkomunikasi yang berkesan.

2. 20% usaha, 80% mengeluh

Ramai yang mahukan kerja tetapi hanya berusaha sekerat jalan sahaja. Jika benar benar mahu mendapatkan pekerjaan, jadikan ia satu usaha sepenuh masa, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga atau berhenti separuh jalan. Kata orang, jadikan “mencari kerja itu kerja sepenuh masa anda”. Jika masih tiada hasil, buat post mortem dan kaji semula kesilapan yang mungkin telah anda lakukan dalam usaha mendapatkan kerja. Jangan terlalu cepat mengeluh.

“Kalau tak ada kabel, jangan haraplah nak dapat kerja.”

“Apa ni? Adakah sebab majikan memilih perempuan perempuan cantik sahaja?”

“Kerajaan tak boleh harap, memang tak nak bantu orang…”

Semak semula dan tanya diri sendiri adakah sudah betul betul berusaha? Tepuk dada tanyalah selera.

3. Suka ‘tunggu’ dan bukan ‘kejar’

Orang yang berjaya tidak menunggu sehingga peluang terhidang di depan mata kerana mereka tahu rezeki tidak datang bergolek. Mereka juga sedar rezeki itu tidak layak untuk mereka yang tidak berusaha serta mereka yang mengharapkan nasib semata mata. Sebaliknya, mereka mencari cari dan mengejar peluang demi mengubah nasib hidup. Ada yang sanggup mengembara beratus ratus kilometer semata mata untuk menghadiri temuduga di ibu kota.

Orang yang kurang berjaya sebaliknya mengambil sikap tunggu, lihat dan berharap. Mereka berpendapat, “jika dah ada rezeki, memang tak ke mana” tanpa melakukan sebarang usaha yang serius untuk merubah keadaan. Tiada usaha untuk menambahbaik kemahiran yang boleh meningkatkan nilai mereka di pasaran seperti kemahiran berkomunikasi, perisian, menulis resume dan sebagainya.

4. Gaji dulu, pengalaman kemudian

Bagi kebanyakan orang, gaji lebih penting berbanding dengan pengalaman serta potensi pembangunan kerjaya. Kerja yang menawarkan gaji kecil, walaupun datang dengan peluang pembangunan yang menarik, akan ditolak tepi dahulu dan tidak diberi keutamaan. Golongan yang sama mengenakan pelbagai syarat lain yang menyempitkan lagi peluang yang ada, malah sehingga membuatkan majikan menjauhkan diri.

Sebagai contoh, mereka tidak sanggup untuk bekerja di lokasi yang jauh dan tidak menyenangkan proses perjalanan. Bagi mereka, bangun awal pagi untuk sampai ke tempat kerja tepat pada masanya adalah sesuatu yang melecehkan. Jika memang pekerja berpengalaman (dan laku di pasaran) tidak mengapalah, tapi graduan yang pengalaman yang masih zero pengalaman!

5. Hentam semborono

Kata orang, malu bertanya, sesat jalan. Entah apa sebabnya, mereka ini yang tidak tahu terus menerus membiarkan diri mereka disesatkan tanpa berusaha untuk meingisi sedikit ilmu di dada. Tidak tahu apa itu resume. Tidak tahu bagaimana menulis surat permohonan kerja. Tiada pengetahuan tentang teknik teknik menghadiri temuduga yang berkesan. Yang mereka tahu, pergi ke website atau laman web, dan ‘memohon kerja’ dengan menulis ‘resume’ mereka dalam ruangan komen.

Jika beginilah caranya, tidak akan ada orang yang simpati jika tidak mendapat kerja sampai bila bila.