Ahad, 28 November 2010

Antara Dakwah dan Kesempurnaan... Terkandas aku di tengah jalan



Jika kamu memancing ikan...
Setelah ikan itu terlekat di mata kail,
hendaklah kamu mengambil ikan itu...
Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia
semula ke dalam air begitu saja...
Karena ia akan SAKIT oleh kerana bisanya,
ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.

Begitulah juga...

Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang...
Setelah ia mulai MENYAYANGIMU,
hendaklah kamu MENJAGA hatinya...
Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja...
Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu,
dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu...

Jika kamu menadah air biarlah berpada,
jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia
begitu teguh... cukuplah sekadar keperluanmu...
Apabila sekali ia retak... tentu sukar untuk kamu menambalnya semula...
Akhirnya ia dibuang...

Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan
lagi...
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya...
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu
istimewa...
Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan
mudah bagi kamu untuk menerimanya...
Akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya.

Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga
ke akhirnya....

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi,
yang kamu pasti baik untuk dirimu...
Mengenyangkan. Berkhasiat.
Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain...
Terlalu ingin mengejar kelazatan...
Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya...
Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan,
yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu.
MENYAYANGIMU... MENGASIHIMU...
Mengapa kamu berlengah,
cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain.
Terlalu mengejar kesempurnaan.
Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain
Kamu juga yang akan MENYESAL...

Rabu, 10 November 2010

Da'ie Oh Da'ie

Kamu... mereka yang dikurniakan Allah nikmat ilmu Al-quran dan hadith. Yang mengetahui apa yang tidak kami ketahui tentang agama kami sendiri. Dengan itu, telah menjadi tanggungjawab kamu untuk menyebarkannya kepada kami.

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya." -Al-Baqarah, 42-

Wahai para dai'e,

Dengarlah rintihan dan permintaan dari kami ini, agar kami boleh memahami apa yang telah menjadi pegangan kami selama ini. Kami tidak ingin jahil selamanya, kami punya semangat tapi kami memerlukan dorongan, sedikit anjakan dari kamu, dan peringatan agar kami tidak kembali lalai.

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." -Ali-Imran, 104 -

Wahai para dai'e,

Janganlah kamu sesekali merasakan diri kamu itu lebih hebat dan mulia daripada kami, kerana ianya hanya akan menyebabkan kami menjauhi kamu. Biarlah kami sendiri yang merasakan diri lemah dan jahil berbanding dengan kamu agar kami sentiasa mendekatimu untuk memperbaiki diri kami agar memperoleh keredhaan Allah.

"Zuhudlah terhadap apa yang ada di dunia maka Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah terhadap apa yang ada di tangan mansusia maka manusia pun akan mencintaimu." - H.R Ibnu Majah dll dgn sanad hassan -

Wahai para dai'e,

Berilah kami nasihat dan peringatan yang sesuai dengan tahap kemampuan iman kami, bersikap lembutlah terhadap kami, bantulah kami membentuk aqidah kami, janganlah engkau menyeru kami untuk menunaikan ibadah-ibadah sunnah sedangkan ibadah wajib kami tinggalkan.

Jawablah soalan-soalan kami dengan bijak dan sertakanlah sedikit jawapan tambahan agar boleh kami mengambil pengajaran yang bermanfaat. Seperti mana Rasulullah SAW apabila baginda ditanya sama ada air laut itu boleh dibuat wudhuk atau tidak, baginda menjawab

"Laut itu airnya suci lagi menyucikan dan bangkai haiwannya halal" -H.R Malik, al-Syafi'e-

Wahai para dai'e

Telah kamu ketahui tanggungjawabmu, maka tunjukkanlah kami teladan yang baik untuk kami ikuti. Janganlah kamu hanya menasihati kami dengan mulutmu, tetapi tidak dengan akhlakmu. Kita sendiri tahu bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak suka perbuatan seumpama itu.

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" -Al-Baqarah, 44-

Dan, telah kamu wahai para dai'e, menjalankan tanggungjawabmu. Maka tibalah giliran kami untuk menyampaikan nikmat Allah ini kepada saudara kita yang masih tidak mengetahui. Dan semoga kita dirahmatiNya...

"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." -Ad-Dhuha, 11-

Rabu, 27 Oktober 2010

TIPS MEMILIH JODOH


Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap.

Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun.

Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama.

Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih.

Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.

Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.

Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.

Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.

Antara yang menarik tulisan berikut:

Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.

Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS.

Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa Tujuan Berumahtangga?

"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.

Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.

Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku.

Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku"

Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia.

Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat?

Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara?

Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.

Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali.

Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama.

Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.

Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan?

Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.

Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?

Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.

"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.

Penyakit "Tidak Jelas"

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?

Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.

Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?

Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".

Hanya 'Beragama'?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta.

Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan.

Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.

Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama.

Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu.

Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.

Ustaz Fathi Yusuf