Khamis, 21 Oktober 2010

Syukur dan Sabar

Dalam kesibukan diri melayari bahtera kehidupan ini, banyak dugaan dan cabaran yang kita temui, mungkin ada cabaran yang berjaya kita harungi, dan ada yang sebaliknya. Cuma hakikatnya, kita sebagai manusia memang tidak lepas dari menghadapi dugaan ini.

Para ulama' dan ahli ibadah zaman dahulu mengklasifikasikan ujian yang diterima oleh seseorang itu adalah mahar yang akan dijadikan saksi ketika hari yang tiada saksi melainkan amalan yang soleh, ia juga dianggap sebagai sebuah nikmat kerana bagi mereka Allah masih menerima amalan dan masih melihat mereka.

Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Sifat Syukur

Syukur adalah satu sifat yang sangat penting di dalam diri seseorang. Tanpa syukur, seorang manusia itu akan lupa daratan dan sentiasa merasakan diri merekalah yang sebenarnya sempurna dan berkuasa.

Lihat sahaja kepada contoh golongan yang tidak bersyukur yang telah dinukilkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran sebagai iktibar kepada hambanya.

Firaun Dan Pengikutnya

Firaun adalah seorang raja yang telah diberikan keistimewaan oleh Allah SWT dengan tidak pernah jatuh sakit sepanjang hidupnya. Di samping itu juga, dia diberikan sebuah kerajaan yang sagat besar dan kuat iaitu kerajaan mesir ketika itu.

Tetapi malangnya, firaun menjadi sombong dan lupa diri. Oleh kerana keistimewaanya itu, dia merasakan dirinya adalah Tuhan yang patut disembah - dia menyuruh seluruh rakyatnya menyembah dirinya.

Sehinggakan Allah SWT mengutuskan Nabi Musa a.s. untuk menjadi petunjuk ke atas rakyat yang telah dizalimi tadi. Allah SWT juga memberi balasan yang setimpal ke atas perbuatan angkuh firaun itu dengan menenggelamkan dia di laut merah sewaktu cuba membunuh Nabi Musa a.s.

Begitu juga yang terjadi ke atas Haman; perdana menteri yang dilantik ketika pemerintahan firaun. Dia banyak menghabiskan duit rakyat dan sentiasa mengampu firaun dengan kata-kata manis untuk mengekalkan kedudukannya selaku perdana menteri; orang yang kedua tertinggi dalam kerajaan firaun laknatullah.

Kisah Raja Namrud

Raja Namrud juga salah satu contoh manusia yang tidak bersyukur atas pemberian Ilahi, bukan sahaja bersifat angkuh tetapi dia mahu membakarnya hidup-hidup Nabi Ibrahim a.s. yang diutuskan oleh Allah ke atas kaum mereka. Namun dengan sifat kasih sayang Allah SWT, api yang sepatutnya bersifat panas dan membakar menjadi dingin dan selamat untuk Nabi Ibrahim a.s. dan Namrud pula akhirnya dimusnahkan dengan dihantar seekor nyamuk yang masuk ke dalam kepalanya untuk memakan otaknya.

Manusia Yang Paling Sabar

Nabi Ayub dikurniakan kesempurnaan kehidupan oleh Allah SWT. Baginda dikurniakan harta yang banyak dan keluarga yang bahagia, tetapi kuasa Allah SWT lebih hebat apabila menguji baginda dengan menarik sedikit demi sedikit nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada Nabi Ayub. Ia bermula dengan harta yang semakin berkurangan, anak-anak yang meninggal dunia dan seterusnya dengan penyakit sopak yang menjijikkan.

Mengenai pelbagai ujian itu Allah SWT berfirman, maksudnya:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, 'Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali'."

Walaupun diuji dangan begitu hebat sekali, beliau masih tetap percaya Allah SWT ada menyelitkan hikmah disebalik kedukaan ujian yang melandanya. Akhirnya dengan sifat kesempurnaan Allah, segala ujian yang diberikan digantikan semula dengan kegembiraan dan Nabi Ayub a.s. dinaikkan darjat sebagai orang yang bersabar di atas ujian yang menimpa.

Jesteru ayuh sahabat sekalian, majulah dalam menempuh ujian hidup ini kerana ada sesuatu yang manis sedang menunggu kita.

Ingatkan teman yang lain dan ingatkan diri kita sendiri. Moga Allah memberi taufiq ke atas diri kita dan dikurniakan kejayaan diatas amalan yang dilakukan.

"Ya Allah jangan Kau uji kami dangan ujian yang tidak tertanggung oleh kami, sesungguhnya kami hambaMu yang daif dan lemah."

"Tanpa keberanian, mimpi takkan bermakna."

"Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati."

Selasa, 19 Oktober 2010

Berharap Kepada Yang Tak Punya

"Untuk apa kita mengharap pada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan?

Pengharapan adalah sesuatu yang dapat memberikan kekuatan.

Walaupun kita berada dalam suatu kesusahan yang sangat berat, pengharapan akan memberikan kesegaran kepada iman untuk sentiasa bertahan.

Kita percaya bahawa masih ada jalan keluar kepada permasalahan.

Kita percaya bahawa pasti ada pertolongan.

Namun, pada siapa harus kita berikan pengharapanAllah tersebut? Adakah pada makhluk seperti kita yang juga tak punya untuk memberi?

Atau pada Tuhan yang sentiasa menanti untuk diseru nama-Nya pagi dan petang? Bahkan Dialah yang memenuhi segala permintaan.

Seringkali kita meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia untuk dipenuhi.

Padahal orang yang kita harapkan tersebut tak berdaya untuk memenuhi harapan dirinya sendiri.

Adalah lebih bahaya kalau orang yang kita harapkan sebenarnya tak pernah mengharap kepada Tuhan sekalian alam.

Dia menggantungkan kepercayaan kepada dirinya semata-mata tanpa sedikitpun merasa terikat dengan ketentuan Allah.

Jika orang sebegini yang kita harapkan, adakah dia akan membawa kita mendekati Tuhan?

Harapan tak tertunai, bahkan Iman terungkai-rungkai ikatannya.

"Jangan risau, kalau aku ada, mesti ok punya semua benda.

Hanya aku seorang yang boleh diharapkan"

Kata-kata sombong apakah itu? Seolah-olah dirinya adalah Tuhan yang menentukan segala keadaan.

Tanpa dia, mungkin keadaan menjadi kurang baik. Namun, dengan dia, adakah keadaan semestinya baik tanpa izin Tuhan?

Jika ada orang yang kita harapkan mengatakan begitu, berhati-hatilah, boleh jadi kita sedang mengharap pada yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan.

Bukan tidak boleh kita percaya diri, meletakkan harapan kepada manusia.

Namun, cukuplah harapan itu setakat yang patut.

Jangan sampai harapan itu melangkaui harapan tertinggi yang seharusnya diberikan kepada Allah mutlak.

Tak ada gunanya mengharap kepada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan, kerana kelak kita akan disesatkannya.

Pengabdian kita kepada Allah akan tercalar.

Berharaplah kepada manusia untuk berbuat sekadar kemampuannya, namun keizinan untuk sesuatu itu terjadi tetap harus dikembalikan urusannya kepada Allah.

Pengharapan yang tidak patut kepada manusia selalu terjadi tanpa kita sedari. Pengharapan yang tidak langsung diikat dengan pengharapan kepada Allah.

Contohnya, selalu kita terlalu mengharap manusia memberikan cinta kepada kita sedangkan Allah yang menumbuhkan cinta dalam hatinya.

Kenapa tidak berdoa sahaja kepada Allah agar mengurniakan rasa cinta tersebut?

Walaupun pengharapan tidak memansuhkan ikhtiar, namun pengharapan yang tepat akan menjadikan ikhtiar kita lebih berkat.

"Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepada dia untuk melaksanakan tugas yang aku berikan"

Itulah bentuk pengharapan yang lebih baik. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya.

Tuntasnya, hubungan berbentuk horizontal yang tidak diikat dengan hubungan vertical akan menimbulkan kecelaruan dan kegoyahan.

Horizontal saya maksudkan sebagai hubungan sesama manusia, vertical sebagai hubungan dengan pencipta.

Hubungan horizontal yang tidak ada ikatan vertical adalah ibarat sebuah kipas syiling yang berpusing tanpa tergantung pada syiling, putarannya bukan menyejukkan, tapi menghancurkan.

Jauhkanlah diri kita daripada berharap secara keterlaluan kepada manusia sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah.

Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tak pernah mengharap kepada Tuhan.

Manusia terbatas kemampuannya sedangkan Allah tak ada istilah tidak mampu bagi-Nya.

Apabila Dia mengatakan jadi, maka jadi.

"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." - Al-Insyirah: 7-8

Wallahua'lam.

Rabu, 7 Julai 2010

"Orang Yang Paling Aku Sukai Ialah Dia Yang Menunjukkan Kesalahanku" Utusan Lidah Khalifah 'Umar