Selasa, 19 Oktober 2010

Berharap Kepada Yang Tak Punya

"Untuk apa kita mengharap pada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan?

Pengharapan adalah sesuatu yang dapat memberikan kekuatan.

Walaupun kita berada dalam suatu kesusahan yang sangat berat, pengharapan akan memberikan kesegaran kepada iman untuk sentiasa bertahan.

Kita percaya bahawa masih ada jalan keluar kepada permasalahan.

Kita percaya bahawa pasti ada pertolongan.

Namun, pada siapa harus kita berikan pengharapanAllah tersebut? Adakah pada makhluk seperti kita yang juga tak punya untuk memberi?

Atau pada Tuhan yang sentiasa menanti untuk diseru nama-Nya pagi dan petang? Bahkan Dialah yang memenuhi segala permintaan.

Seringkali kita meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia untuk dipenuhi.

Padahal orang yang kita harapkan tersebut tak berdaya untuk memenuhi harapan dirinya sendiri.

Adalah lebih bahaya kalau orang yang kita harapkan sebenarnya tak pernah mengharap kepada Tuhan sekalian alam.

Dia menggantungkan kepercayaan kepada dirinya semata-mata tanpa sedikitpun merasa terikat dengan ketentuan Allah.

Jika orang sebegini yang kita harapkan, adakah dia akan membawa kita mendekati Tuhan?

Harapan tak tertunai, bahkan Iman terungkai-rungkai ikatannya.

"Jangan risau, kalau aku ada, mesti ok punya semua benda.

Hanya aku seorang yang boleh diharapkan"

Kata-kata sombong apakah itu? Seolah-olah dirinya adalah Tuhan yang menentukan segala keadaan.

Tanpa dia, mungkin keadaan menjadi kurang baik. Namun, dengan dia, adakah keadaan semestinya baik tanpa izin Tuhan?

Jika ada orang yang kita harapkan mengatakan begitu, berhati-hatilah, boleh jadi kita sedang mengharap pada yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan.

Bukan tidak boleh kita percaya diri, meletakkan harapan kepada manusia.

Namun, cukuplah harapan itu setakat yang patut.

Jangan sampai harapan itu melangkaui harapan tertinggi yang seharusnya diberikan kepada Allah mutlak.

Tak ada gunanya mengharap kepada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan, kerana kelak kita akan disesatkannya.

Pengabdian kita kepada Allah akan tercalar.

Berharaplah kepada manusia untuk berbuat sekadar kemampuannya, namun keizinan untuk sesuatu itu terjadi tetap harus dikembalikan urusannya kepada Allah.

Pengharapan yang tidak patut kepada manusia selalu terjadi tanpa kita sedari. Pengharapan yang tidak langsung diikat dengan pengharapan kepada Allah.

Contohnya, selalu kita terlalu mengharap manusia memberikan cinta kepada kita sedangkan Allah yang menumbuhkan cinta dalam hatinya.

Kenapa tidak berdoa sahaja kepada Allah agar mengurniakan rasa cinta tersebut?

Walaupun pengharapan tidak memansuhkan ikhtiar, namun pengharapan yang tepat akan menjadikan ikhtiar kita lebih berkat.

"Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepada dia untuk melaksanakan tugas yang aku berikan"

Itulah bentuk pengharapan yang lebih baik. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya.

Tuntasnya, hubungan berbentuk horizontal yang tidak diikat dengan hubungan vertical akan menimbulkan kecelaruan dan kegoyahan.

Horizontal saya maksudkan sebagai hubungan sesama manusia, vertical sebagai hubungan dengan pencipta.

Hubungan horizontal yang tidak ada ikatan vertical adalah ibarat sebuah kipas syiling yang berpusing tanpa tergantung pada syiling, putarannya bukan menyejukkan, tapi menghancurkan.

Jauhkanlah diri kita daripada berharap secara keterlaluan kepada manusia sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah.

Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tak pernah mengharap kepada Tuhan.

Manusia terbatas kemampuannya sedangkan Allah tak ada istilah tidak mampu bagi-Nya.

Apabila Dia mengatakan jadi, maka jadi.

"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." - Al-Insyirah: 7-8

Wallahua'lam.

Rabu, 7 Julai 2010

"Orang Yang Paling Aku Sukai Ialah Dia Yang Menunjukkan Kesalahanku" Utusan Lidah Khalifah 'Umar

Rabu, 30 Jun 2010

Kerja Oh Kerja III

20 contoh soalan temuduga SPA:

1. Apa yang anda tahu tentang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)? Apakah peranan peranan yang dimainkan oleh SPA?


2. Kerajaan memperkenalkan konsep KPI (Key Performance Indicator) untuk mengukur kecekapan dan keberkesanan menteri menteri yang dilantik di dalam kabinet. Boleh anda ulas sedikit tentang ini?


3. Selain daripada KPI, apa lagi langkah langkah atau mekanisme yang membolehkan sesebuah majikan mengukur kemampuan seseorang pekerja?


4. Anda baru dilantik ke sebuah jabatan kerajaan. Anda mendapati, terdapat beberapa kepincangan dalam beberapa proses dan prosedur perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan anda. Sebagai orang bawah yang baru sahaja bekerja, bagaimana anda boleh mengutarakan pendapat anda kepada pegawai lain yang lebih tinggi pangkatnya?


5. Aung San Suu Kyi adalah pejuang demokrasi yang dinafikan hak hak kemanusiaan oleh negaranya Myanmar. Sebagai sebuah negara yang berada di kerantauan yang sama, apa yang boleh dilakukan oleh Malaysia untuk menyuarakan kerisauan antarabangsa dan dalam masa yang sama mengekalkan hubungan diplomatik kedua dua hala?


6. Bagaimana anda boleh menyelesaikan konflik atau perselisihan pendapat dengan rakan sekerja anda?


7. Setakat yang anda tahu, apakah tugas tugas yang bakal dipikul oleh Juruukur (atau jawatan yang dipohon) di jabatan ini?


8. Kenapa anda yang harus kami pilih, dan bukan calon lain? Apa kelebihan anda?


9. Apakah kelemahan anda yang harus kami ketahui? Adakah anda melakukan sebarang perkara yang akan membantu anda mengatasi kelemahan tersebut?


10. Sebagai seorang jurutera, selain daripada kepakaran teknikal, apa lagi kemahiran lain yang perlu ada pada beliau untuk membina sebuah kerjaya yang cemerlang dan membolehkan beliau menjadi seorang jurutera yang serba boleh?


11. Di manakah anda 5 tahun dari sekarang?


12. Sebagai seorang pegawai sumber manusia, apakah strategi yang boleh anda lakukan untuk memastikan tahap motivasi pekerja di semua jabatan atau unit berada pada tahap yang tertinggi?


13. Mengapa anda memohon jawatan ini?


14. Kenapa jawatan dalam kerajaan yang dipilih. Kenapa tidak swasta? Apa kelebihan dan kekurangan bekerja dengan kerajaan berbanding dalam sektor swasta?


15. Pada pendapat anda, adakah sistem pendidikan di negara ini berada pada landasan yang betul? Apa yang anda mahu lihat pada sistem pendidikan yang masih belum ada buat masa ini?


16. Sebagai pereka lanskap, apakah langkah langkah yang perlu diambil, serta faktor faktor yang mesti diambil kira sebelum anda melakukan sebarang rekaan di atas kertas?


17. Nyatakan sebarang pencapaian atau keterlibatan anda dalam membangunkan sistem teknologi maklumat, samaada di tempat kerja sebelum ini, di universiti atau di tempat tempat lain.


18. Jika anda keluar dari sektor swasta dan masuk ke jabatan kerajaan, bagaimana anda boleh meyakinkan kami bahawa anda tidak akan keluar dan masuk semula ke sektor swasta?


19. Seorang pegawai kerajaan akan sentiasa menghadapi kemungkinan untuk dipindah lokasi dan tempat bekerja. Terangkan respons anda terhadap komitmen sebegini. Bagaimana anda akan menyelesaikan segala cabaran yang muncul dalam proses perpindahan ini?


20. Nyatakan satu contoh di mana anda telah menonjolkan bakat kepemimpinan semulajadi dalam melaksanakan sesuatu aktivit atau program yang besar dan berjaya.